BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum... Selamat menyambut Idul Fitri semua. Tajuk entri macam tidak sesuai untuk dikongsi pada hari ni kan?! Huhuhuhu... Takpe, tak kisah. Saya rasa saya bertanggungjawab untuk mewar-warkan perkara ini kerana mungkin ramai yang tidak tahu. Bagi yang sudah maklum, alhamdulillah.Artikel ini saya petik dari Notes Facebook seorang sahabat yang tag saya. Sumber artikel seperti yang tertera di perenggan akhir artikel ini. Sekiranya ada kesilapan atau pembetulan, bolehlah dikongsikan bersama.
Kewajipan dan Perbezaan Antara Mandi Wiladah dan Mandi Nifas
Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana bersalin (wiladah) dan mandi kerana nifas.
Para
ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar
darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wiladah iaitu mandi kerana bersalin, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah). Begitu juga bagi perempuan yang mengalami
keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada
keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk
seketul daging (mudhghah).
Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi.
Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik.
Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari
setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah itu tidak
keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau
lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi
ia merupakan darah haidh. Maka dalam hal ini perempuan tersebut
diwajibkan mandi kerana nifas.
Manakala mandi wiladah ialah apabila seorang perempuan itu
melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa
darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana bersalin (wiladah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.
Maka apabila seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib
mandi kerana bersalin (wiladah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas
setelah berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu
empat puluh hari empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam
puloh hari enam puloh malam.
Sayugia
diperingatkan bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui
hukum-hukum berkaitan dengan mandi wiladah dan mandi kerana nifas, dan
wajarlah bagi suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri masing-masing.
Antara sumber: Halaqah.net
1 comment:
datang untuk beraya
susun 10 jari mohon maaf
selamat hari raya
Post a Comment