follower: jika widget tidak kelihatan, klik 'follow' pada navbar di atas sekali untuk follow.

Monday, April 25, 2011

8 Habitat Paling Terancam Di Dunia

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Berikut merupakan 8 tempat di planet bumi yang disenaraikan sebagai tempat paling terancam dan bakal melenyapkan habitat semulajadi yang membawa bersama kepupusan beribu spesis haiwan dan tumbuhan yang merupakan penghuni peribumi kawasan tersebut. 

8. MADAGASCAR

Imej dirakam pada 4 June 2003 menggunakan MODIS (Moderate Resolution Imaging Spectroradiometer) dari satelit Terra NASA. Photo courtesy: NASA

Madagascar yang suatu ketika dahulu yang mana keseluruhan kawasannya dilitupi dengan kehijauan dan kesuburan tumbuh-tumbuhan, kini telah menyaksikan kemusnahan hampir 80% daripada kawasan hutan hijau tersebut. Kawasan lapang merah keperangan seperti yang kelihatan dalam imej sebenar di atas merupakan imej satelit utara Madagascar yang diperolehi pada 24 May 2000 oleh satelit Terra NASA.

Pulau yang terletak di pesisir laut timur Africa ini merupakan kediaman bagi 21 juta penduduk. Menurut Conservation International, pulau tersebut juga merupakan habitat bagi 8 spesis keluarga tumbuhan, 4 spesis keluarga burung dan 5 spesis keluarga primat, termasuk 50 spesis pukang yang tidak boleh ditemui di tempat lain.

Berikutan aktiviti penternakan gembala, pembalakan dan 'pertanian tebang dan bakar', kini hanya 17% tumbuhan asal Madagascar yang masih tinggal. Ditambah pula dengan spesis ceroboh yang menghancurkan flora dan fauna tempatan. Pada May 2010, BirdLife International, sebuah agensi perlindungan alam sekitar telah mengesahkan bahawa Alaotra Grebe, sejenis burung air, telah pun mengalami pupus. Kepupusannya dikaitkan dengan kombinasi ancaman dari pukat nelayan dan ikan karnivor bukan peribumi kawasan tersebut.


7. BORNEO

 Imej dirakam pada 31 Ogos 2005 menggunakan MODIS (Moderate Resolution Imaging Spectroradiometer) dari satelit Aqua NASA. Photo courtesy: NASA

Hutan hujan daripada gabungan antara tiga buah negara iaitu Indonesia, Brunei dan Malaysia, merupakan habitat asal bagi Orang utan Borneo, badak Sumatera, dan sekurang-kurangnya 1,000 ekor gajah kerdil yang merupakan keunikan fauna bagi pulau tersebut.

Kepelbagaian biodiversiti kawasan tersebut sangat mengkagumkan: Menurut World Wild Fund for Nature (WWF), antara July 2005 dan September 2006 sahaja, 52 spesis baru flora dan fauna telah ditemui dalam hutan hujan Borneo. Malangnya, hutan hujan tersebut turut terancam. Menurut laporan WWF, Borneo Indonesia telah kehilangan lebih daripada 1.21 juta hektar hutan hujan setahun antara tahun 1997 dan 2000. Pembalakan haram, pembakaran hutan dan perluasan penanaman kelapa sawit merupakan antara penyebab utama.


Sementara itu, menurut laporan yang sama, perdagangan secara haram bagi haiwan liar yang dilindungi merupakan perniagaan yang mencecah nilai billion Euro setahun di Indonesia. Orang utan menpunyai nilai yang sangat tinggi. Tinjauan pada 2003 oleh kumpulan pemerhati perdagangan hidupan liar TRAFFIC, mendapati bahawa Indonesia telah menyita sebanyak 30 ekor orang utan daripada individu yang disyaki sebagai pengedar haiwan liar dalam tempoh hanya sebulan.


6. MICRONESIA & POLYNESIA


Digelar sebagai "pusat gempa bumi kepada kepupusan global semasa" oleh Conservation International, segelintir daripada lebih 4,000 pulau Pasifik Selatan berhadapan dengan risiko daripada aktiviti penduduk setempat dan perubahan iklim global. Manusia mula menduduki pulau-pulau tersebut sekitar 2,000 ke 3,000 tahun dahulu. Menurut ulasan dalam Journal Sains Arkeologi pada tahun 1989, ribuan spesis burung telah pupus ejak penempatan manusia bermula di situ.

Perburuan dan pertanian dinyatakan sebagai pendorong kepada kepupusan tersebut, namun spesis ceroboh dikatakan memainkan peranan yang besar. Menurut satu kajian dalam journal Oryx pada tahun 1992, salah satu penyerang terburuk adalah tikus biasa yang menjadikan burung dan reptilia seakannya sebagai mangsa.

Pulau Mounu, Vava'u, Tonga, Pasifik Selatan. Photo courtesy: dreamstime

Sementara spesis ceroboh merosakkan pulau-pulau tersebut dari dalam, pemanasan global pula mengancam dari luar. Menurut Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan sebanyak satu meter paras laut boleh menenggelamkan 4 batu persegi (10km persegi) daripada 100 batu persegi (257km persegi) pulau Tongatapu, Tonga. Gelombang air laut daripada ribut tropika akan menenggelamkan tambahan 27 km persegi. Pulau-pulau rendah lain juga turut mengalami nasib yang sama. 


5. ARIZONA, NEW MEXICO & CHIHUAHUAN DESERT: SKY ISLANDS

Pergunungan Chiricahua, Arizona. Photo courtesy: dreamstime

Pulau khususnya sangat terdedah kepada ancaman kerana keterpencilannya. Spesis yang berevolusi berhampiran dengan persekitaran pulau mungkin tidak dapat menerima perubahan terhadap habitat semulajadi mereka.

Tetapi tidak semua pulau dikelilingi oleh air. Di arizona, New Mexico dan Chihuahua, Mexico, puncak gunung mencapai ribuan kaki di atas lantai padang pasir. Pada iklim mikro yang lebih sejuk di puncak "pulau-pulau" tersebut, terdapat kantungan biodiversiti yang hidup dengan subur. Menurut Sky Island Alliance, separuh daripada spesis burung Amerika menjadikan puncak pergunungan tersebut sebagai habitat mereka. Begitu juga dengan 104 mamalia, termasuk jaguar, ocelot (spesis kucing hutan) dan javelina (spesis 'kerbau pendek').

Selain gangguan daripada manusia yang telah mengancam habitat haiwan-haiwan tersebut, pemanasan global dan pengeringan juga merupakan petanda buruk bagi 'sky island'. Sementara suhu meningkat, lereng-lereng gunung menjadi semakin gersang, yang menyebabkan habitat spesis penghuni puncak gunung semakin mengecil.


4. LEMBAH MEDITERRANEAN


Lingkaran garisan pantai yang mengelilingi Laut Mediterranean telah dihuni dengan kepadatan manusia sekurang-kurangnya sejak 8,000 tahun dahulu. Mungkin kelihatan aneh untuk menganggap kawasan yang berpenghuni tersebut sebagai terancam. Namun menurut Conservation International, pantai-pantai Mediterranean merupakan kediaman bagi 22,500 spesis tumbuhan, 4 kali ganda lebih daripada seluruh gabungan negara-negara Eropah. Separuh daripadanya hanya boleh ditemui di sini.

Walaupun industri pelancongan merupakan penyumbang besar kepada ekonomi kawasan tersebut, namun pembangunan terhadap kawasan pantai secara langsung mengundang pelancong untuk menjadi ancaman kepada flora asli. Aktiviti penebangan hutan, pembakaran dan pengembalaan telah memusnahkan 95% tumbuh-tumbuhan Lembah Mediterranean.

Kawasan tersebut juga merupakan habitat bagi Iberian lynx dan Monachus (Mediteranean monk seal), masing-masing merupakan spesis kucing dan anjing laut paling terancam di bumi menurut International Union for Conservation of Nature (IUCN). Hanya tinggal lebih kurang 500 monk seal dan 150 Iberian lynx yang selamat di persekitaran asalnya.

3. HUTAN TROPIKA ANDES

Imej dirakam pada 2 September 2007 menggunakan MODIS (Moderate Resolution Imaging Spectroradiometer) dari satelit Aqua NASA yang menunjukkan Pergunungan Andes Bolivia yang terletak kira-kira 250 km di tenggara la Paz, ibu negara Bolivia. Imej perang dalam imej di atas merupakan kesan penebangan hutan. Photo courtesy: NASA

Rangkaian pergunungan ini terbentang di pantai barat Amerika Selatan dari Bolivia ke Chile. Kawasan tersebut merupakan habitat bagi 1/6 dari kesemua tanaman hidup di muka bumi. Lebih daripada 660 spesis amfibia menjadikan tropika Andes sebagai habitat, 450 daripadanya telah disenaraikan sebagai terancam oleh IUCN pada tahun 2004. Spesis yang paling terancam adalah yellow-tailed woolly monkey yang sebelum ini pernah dianggap pupus, banyak berkeliaran dalam hutan Andes. Begitu juga dengan satu-satunya spesis beruang di Amerika Selatan, spectacled bear.

Andes buka sahaja sangat kaya dengan kepelbagaian flora dan faunanya, tetapi juga kaya dengan sumber semulajadi. Menurut Conservation International, minyak dan gas telah ditemui dalam wilayah tersebut dan syarikat-syarikat mula membina jalan raya dan saluran paip melalui kawasan sensitif. Empangan hidroelektrik mengancam ekosistem sungai. Penebangan hutan yang disebabkan oleh pertanian, khasnya penanaman kopi, menjadikan burung yang berasal dari kawasan tersebut kehilangan tempat tinggal.


2. ANTARTIKA

Pengguin Emperor dan pasangannya. Credit: British Antarctic Survey
Antartika terkenal dengan 'padang pasir' sejuknya yang mana suhu musim sejuk biasanya jatuh serendah -94 darjah Fahrenheit (-70 darjah Celcius). Namun disebalik benua yang tandus ini, terdapat banyak hidupan laut termasuk pengguin, burung laut, anjing laut dan ikan paus. Bahkan laut dalam tergelap, Laut Weddell di Antartika Barat merupakan harta karun kehidupan: Kajian mengenai Laut Weddell yang diterbitkan dalam journal Nature pada tahun 2007 menemui lebih daripada 700 spesis baru, termasuk lelabah laut, span karnivor dan sotong kurita.

Ancaman kembar daripada pemanasan global dan penangkapan ikan secara berlebihan mengancam biodiversiti Antartika. Satu laporan yang dibuat oleh WWF memberi amaran bahawa sekiranya suhu global meningkat 3.6 darjah Fahrenheit (2 darjah Celcius) di atas purata pra-industri, ais laut di Southern Ocean boleh menyusut diantara 10 ke 15 peratus. Jika itu berlaku, spesis yang bergantung kepada ais akan kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan. Pada masa ini, amaran mengenai penangkapan berlebihan krill (sejenis udang yang menjadi rantai makanan asas Antartika) boleh mengancam keseluruhan ekosistem.


1. ARTIK

Beruang kutub. Credit: U.S. Fish & Wildlife Service

Artik diibaratkan sebagai ground zero bagi perubahan iklim. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal Nature pada April 2010, suhu di sana telah meningkat hampir dua kali ganda purata global,  mungkin disebabkan oleh pencairan ais.

Pencairan ais merupakan berita buruk bagi mamalia besar di Artik. Menurut Penilaian Kesan Iklim Artik (ACIA) pada 2004, beruang kutub akan mengalami kepupusan sekiranya lautan Artik tidak lagi kekal beku sepanjang musim panas. Karibu dan rusa kutub boleh kehilangan daerah mencari makanan kerana pemanasan menyebabkan perubahan tumbuhan di kawasan tundra. Peningkatan aras laut boleh memusnahkan hampir separyh daripada kawasan bersarang bagi sesetengah burung berhijrah.

Namun pemanasan Artik bukan sahaja memberi kesan buruk kepada organisma yang menetap di sana. Kesan daripada pencairan ais, permukaan lautan akan  menyerap lebih banyak tenaga solar seterusnya meningkatkan suhu lautan dan kitaran (feedback loop) pencairan ais yang masih tinggal semakin pantas. Perubahan kadar kemasinan lautan boleh mengganggu kestabilan arus lautan. Pencairan permafrost (tanah pada atau di bawah takat beku air (0 ° C atau 32 ° F) selama dua tahun atau lebih) boleh melepaskan karbon ke atmosfera, mencipta satu lagi kitaran pemanasan bumi. Dalam erti kata lain, perubahan di Artik bukan sahaja kesan daripada perubahan iklim global, tetapi ia juga boleh menjadi penyebab.

Psssttt... Bumi ni bukan untuk dihuni pada zaman ini sahaja, bagaimana dengan zaman anak cucu kita pada masa hadapan?! Mahukah kita mewariskan bumi yang tidak bernyawa buat mereka?! Jangan jadi terlalu mementingkan diri sendiri! Berubahlah demi kelestarian bumi di masa hadapan! Perubahan kecil yang kita lakukan pada hari ini boleh memberikan perbezaan yang besar pada masa hadapan.

*sedang sangat rindukan kehijauan dan kesejukan bumi negeriku, Sabah di Bawah Bayu...

Article courtesy : ouramazingplanet.com


3 comments:

akid said...

em madgascar tu dari atas, nampak macam bentuk kasut plak. Hehe..

Luna, mungkin luna boleh shorkan skit kot entri ni..panjang sangat..

::melur:: said...

wahh. nice info r.. :)

Ahmad Syarif said...

Banyak info kat blog nie yerk :)

-----------------------
sembang2 sampai terbang
http://sembangseposen.blogspot.com